Tiga awang import bakal memperkuatkan Kelantan United FC (KUFC) dalam saingan Liga Perdana yang akan bermula hujung bulan depan.

Setiausaha Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman, berkata tiga pemain import yang berjaya memikat panel pemilih adalah Adil Kouskous dari Maghribi yang bermain di posisi pertahanan, Alyton Alemeo (Brazil) dan Gassama AlFussainey dari Gambia, yang beraksi di posisi tengah.

"Hari ini mereka telah menandatangani surat tawaran daripada pihak kami dan selepas 16 Januari ini, mereka akan menandatangani kontrak penuh.

"Kesemua pemain ini telah diuji dalam aksi perlawananan persahabatan baru-baru ini dan menarik minat barisan jurulatih selain bersesuaian dengan keperluan serta kewangan pasukan," katanya.

Wan Mohd Zul juga tidak menolak andaian KUFC akan menggunakan tiga pemain import sahaja berbanding kuota empat pemain asing yang dibenarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi Liga Perdana.

"Kehadiran tiga pemain itu melengkapkan senarai penuh pemain yang akan memperkuatkan KUFC dan semua barisan pemain akan diumumkan dalam satu majlis minggu depan.

"Kami mendapatkan khidmat tiga pemain import yang beraksi di posisi pertahanan dan tengah kerana mahu memberikan lebih peluang kepada penyerang tempatan membuktikan kemampuan mereka.

"Ketiga-tiga pemain import itu juga akan diturunkan dalam aksi persahabatan menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok," tambahnya.


Kredit Foto: KUFC


Editor: Shaiful Shamsudin