Pasukan The Red Warrios (TRW) akan memastikan pemain import yang dipilih benar-benar mampu untuk memberikan impak dalam menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman, berkata pengurusan pasukan itu amat menitikberatkan pemilihan pemain terbaik bagi mengelakkan pembaziran di kemudian hari.

"Kami bukan hanya menilai rekod pemain itu.

"Ada antara mereka pernah berjaya dalam saingan liga di sesebuah negara, namun apabila mendapat tempat dalam pasukan kami, mereka menimbulkan masalah dengan prestasi tidak menentu.

"Kami tidak mahu mendapatkan pemain asing yang hanya menumpang kepada pemain tempatan.

"Khidmat mereka tidak membantu pasukan, malah mutu permainan pemain tempatan lebih baik," katanya.

Buat masa ini, pasukan itu sedang menguji empat pemain import dan akan mengadakan perlawanan persahabatan pramusim menentang Kedah di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini.

"Kesemua mereka sudah tiba di Kota Bharu dan menjalani latihan bersama pasukan sejak beberapa hari lalu sebelum dinilai oleh barisan kejurulatihan pasukan dalam perlawanan itu," katanya.

-- BERNAMA