KAFA sudah dapatkan pandangan peguam buat rayuan CAS

Oleh Shaiful Shamsudin 18 Mei 2020 190
KAFA sudah dapatkan pandangan peguam buat rayuan CAS
Keputusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengheret isu pembayaran gaji bekas pemain import, Casio De Jesus, ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) boleh diumpamakan seperti menjerat diri sendiri.

Keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu berlandaskan lampiran dokumen dan bukti sahih kegagalan skuad The Red Warriors dalam melunaskan jumlah hutang tertunggak pertahanan berkenaan yang berjumlah RM629,620.28.

Menjadi persoalan seandainya KAFA meneruskan hasrat memfailkan rayuan untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh organisasi dunia itu berhubung sama ada mereka memiliki dokumen kukuh untuk menafikan keputusan terdahulu.

"Saya tidak memikirkan (isu) jumlah tinggi yang kena dibayar kepada Casio.

"Cuma mungkin pendapat pasukan peguam kami yang telah dibentangkan Jawatankuasa Undang-Undang KAFA (boleh diguna pakai) dan kalau kepimpinan bersetuju, maka kami akan memulakan proses rayuan ini," kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, kepada wakil Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom, hari ini.

Jelas sekali tindakan itu membawa risiko buat badan induk berkenaan sekiranya keputusan CAS gagal memihak mereka.

Sehubungan itu, mereka tetap perlu membayar tuntutan hutang pertahanan tersebut selain perlu menyediakan kos tambahan berikutan melibatkan CAS.

Merujuk kepada laman sesawang cas, urusan pentadbiran melibatkan jumlah di antara RM414 ke RM103,380.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen