KAFA perlu dana RM10 juta

Oleh Bernama 20 Oktober 2019 1304
KAFA perlu dana RM10 juta
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih mencari penaja bagi mendapatkan dana sekurang-kurang RM10 juta untuk menghadapi saingan Liga Malaysia, musim depan.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman, berkata dana tersebut penting bagi memperkuatkan pasukan The Red Warrirors (TRW) daripada segi pemain dan pengurusan pasukan yang berkualiti.

"Setidak-tidaknya, kami memerlukan dana itu untuk mempersiapkan pasukan dengan menambah baik barisan pemain yang akan menyertai pasukan bagi memberikan saingan kuat dalam Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

"Melalui dana itu, kami juga perlu bekerja keras bagi mendapatkan pemain yang lebih berkualiti," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, di bawah kepimpinan Bibi Ramjani Ilias Khan, TRW terpaksa bermain dalam Liga Perdana berikutan gagal mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Super dan pada musim ini, pasukan terbabit hanya mampu berada di tangga ke-10.

Bagi musim 2020, TRW akan diuruskan oleh pengurusan baru yang dipimpin oleh ahli politik, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Husin berkata pihaknya mempunyai masa dua bulan bagi mencari penaja mempersiapkan TRW.

"Ada penaja menunggu pengesahan TRW mendapat lesen kelab bagi membolehkan pasukan layak beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

"Kami sedang dan telah menyelesaikan beberapa perkara untuk mendapatkan lesen daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan persatuan terbabit melakukan rundingan dengan bekas pemain import TRW, Margaro Gomis, yang telah mengemukakan saman berikutan pengurusan sebelum ini gagal membayar tunggakan gaji.

Selain itu, persatuan terbabit telah menyelesaikan sebahagian hutang tunggakan melibatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menjadi satu daripada faktor pelesenan kelab pasukan TRW digantung.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen