Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memohon penangguhan denda berhubung isu tuntutan gaji bekas pemain importnya, Casio Francisco De Jesus, berjumlah RM629,620.28.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, berkata pihaknya telah menfailkan rayuan untuk mengetepi dan membatalkan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung isu itu.

"Kami memohon penangguhan pembayaran denda sehingga keputusan rayuan diputuskan namun CAS masih belum memutuskan sama ada permohonan ini dibenarkan atau tidak.

"Sekiranya dibenarkan, maka KAFA diberi tempoh untuk membuat bayaran sehingga keputusan tersebut diputuskan," katanya dalam satu kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan KAFA mengarahkan persatuan terbabit supaya menyelesaikan tunggakan gaji kepada bekas pemain import pertahanan itu dalam tempoh 30 hari bermula 23 April lalu.

Isu itu memaksa KAFA melancarkan tabung derma di atas talian bagi membantu persatuan itu menyelesaikan isu terbabit dan menyelamatkan Kelantan daripada dikenakan tindakan keras oleh FIFA.

Beliau berkata sehingga kini kutipan derma yang dilancarkan pada 9 Mei lalu berjumlah RM12,400.

"Kami berharap lebih ramai lagi penderma terutama daripada penyokong pasukan The Red Warriors (TRW) tampil memberikan sumbangan," katanya.

Selepas tiga perlawanan sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan akibat penularan koronavirus baru (Covid-19) Mac lalu, TRW menduduki tangga ketujuh liga dengan memperoleh empat mata, hasil satu kemenangan dan satu seri.

-- BERNAMA