KAFA masih ada talian hayat

Oleh Farizal Yusoff 6 Jun 2020 1415
KAFA masih ada talian hayat
Biarpun dihambat kekangan masa, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak mudah menyerah kalah untuk menyelesaikan segala krisis kewangan yang ada bagi mengelak dikenakan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman. berkata pihaknya akan menggunakan setiap talian hayat yang ada untuk mencari dana bagi menyelesaikan masalah itu sehingga 30 Jun depan.

"Itulah tarikh akhir yang diberikan kepada kami oleh FAM. Setakat ini, kami telah mendapat bantuan daripada kerajaan negeri dengan pemotongan bayaran levi stadium daripada RM800,000 kepada RM100,000 sahaja.

"Sekarang, kami sedang menguruskan pertemuan dengan beberapa orang menteri kerajaan pusat untuk mendapat bantuan bagi meringankan bebanan kami yang memikul hutang lama," katanya.

Ditanya isu pembayaran gaji pemain Kelantan musim ini, Husin menjelaskan KAFA tidak menghadapi sebarang masalah dan berjalan lancar kerana diuruskan syarikat Team Red Warriors Sdn Bhd (TRW) sebelum mereka menarik diri.

"Pemain dan TRW Sdn Bhd juga bersetuju melakukan pemotongan gaji di antara 10 hingga 20 peratus akibat penularan COVID-19 yang menyebabkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan sehingga kini.

"Cuma yang menjadi isu sekarang adalah tunggakan gaji bekas pemain pada tahun 2015 sehinggga 2017 seperti Mohd Badhri Mohd Radzi atau Piya, Khairul Fahmi Che Mat (Apex), Nor Farhan Muhammad dan beberapa pemain tempatan lain.

"Bagi isu tunggakan gaji pemain import, Cassio Francisco de Jesus dan Bruno Lopes, peguam kami (KAFA) telah mengadakan rundingan dengan peguam mereka untuk memuktamadkan kaedah terbaik pembayaran gaji," katanya. 
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen