Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memberi jaminan akan menyelesaikan segala isu yang berkaitan dengan pelesenan kelab bagi membolehkan The Red Warriors (TRW) beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

Presiden KAFA, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata pihaknya sedang menunggu keputusan rasmi yang akan dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) minggu ini sebelum memberikan sebarang kenyataan.

"Insya-Allah, saya yakin (dapat lesen kelab). Buat masa ini, kita sudah melaksanakan tanggungjawab kepada agensi-agensi kerajaan yang KAFA mempunyai hutang.

"Kita sudah mula membuat pembayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM100,000, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (RM200,000) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial berjumlah RM16,000 pada 15 Oktober lalu.

"Mungkin dalam tempoh 25 tahun di bawah empat presiden, inilah kali pertama KAFA membayar kepada agensi tersebut sampai beratus-ratus ribu.

"Ini cukup membanggakan kami dan KAFA hari ini bukan sahaja menyelesaikan masalah yang ada tetapi menyelesaikan masalah yang sudah tertunggak sekian lama," katanya dalam majlis mempekenalkan Penasihat KAFA, Mohamad Sabu, kepada rakan niaga dan media di Kota Bharu, malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, menjelaskan semua perkara yang diperlukan untuk mendapatkan lesen beraksi dalam Liga Malaysia 2020 telah dipenuhi oleh persatuan itu.

"Sebagaimana yang telah dijelaskan presiden, bagi pihak KAFA, kami telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi semua kriteria yang diperlukan badan induk itu.

"Kami harap FAM dapat memberi pertimbangan sewajarnya ke atas permohonan itu," katanya.

Sementara itu, Afandi juga mengesahkan Yusri Che Lah dilantik semula sebagai ketua jurulatih TRW untuk musim depan.

"Pemain Kelantan akan mula menjalani latihan rasmi di bawah kendalian Yusri (Che Lah), petang ini," tambahnya.

Untuk rekod, pada 23 Ogos lalu, KAFA telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaikh Mohd, bagi membincangkan isu pelesenan kelab tersebut.

Kredit Foto: Kelantan FA Team Red Warriors