Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sah mendapatkan khidmat pemain Jepun, Yuta Suzuki, untuk memperkuat skuad The Red Warriors bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

Menerusi kiriman terbaru dalam laman Facebook rasmi persatuan itu, KAFA memaklumkan pemain berusia 28 tahun itu dibawa masuk melalui memorandum persefahaman dengan salah satu penaja mereka, Yakult.

"Mengikut perjanjian, Yuta akan ditanggung sepenuhnya pihak Yakult berdasarkan persetujuan yang dipersetujui kedua-dua pihak.

"Majlis menandatangani kontrak Yuta akan dilakukan dalam masa terdekat," menurut KAFA dalam kiriman berkenaan.

Suzuki yang beraksi di posisi tengah memulakan karier bola sepaknya dengan pasukan Senshu University Soccer Team dari 2009 hingga 2013.

Dia kemudian menyertai FC Suzuka yang beraksi dalam liga amatur Jepun selama dua tahun sehingga 2015.

Dia kemudian berkelana ke Eropah dengan menyertai kelab Republik Czech, SFC Stara Rise, pada 2016.

Tahun berikutnya, Yuta menyertai kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC, sebelum berhijrah ke sebuah lagi kelab Kemboja, National Police Commissary FC, musim ini.

-- BERNAMA