Junior kini milik Bhayangkara FC

Oleh Farizal Yusoff 14 Mei 2019 13385
Junior kini milik Bhayangkara FC
Pemain tengah kelahiran Brazil, Flavio Beck Junior, sah meninggalkan Kelantan dan bakal menyertai kelab Bhayangkara FC dalam saingan Liga 1 Indonesia.

Dalam laman Instagram miliknya, Junior berkongsi kegembiraan bersama peminatnya kerana dapat kembali beraksi di Indonesia. Sebelum ini, Junior pernah beraksi untuk Borneo FC pada musim 2016/2017.

"Sangat gembira dapat kembali semula ke Indonesia dan kali ini menyertai kelab 
Bhayangkara FC," katanya.

Junior yang juga bekas perancang tengah Negeri Sembilan, tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada bekas rakan sepasukan The Red Warriors (TRW).

"Terima kasih bekas rakan sepasukan dalam TRW dan selamat berjaya dalam liga," katanya.

Untuk rekod, Junior menyertai TRW selepas menyertai sesi pemilihan awal musim ini di bawah kendalian bekas Pengarah Teknikal Kelantan, Peter Jorg Steinebrunner.

Selepas Kelantan mengalami krisis kewangan meruncing, Junior membuat keputusan untuk meninggalkan TRW atas persetujuan bersama.

Dia muncul sebagai penjaring terbanyak TRW musim ini dengan empat gol.

Kredit Foto: Kelantan FA

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen