Pengendali Sabah, Jelius Ating, tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun kecundang 0-2 kepada pendahulu Liga Perdana, Kuala Lumpur, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

"Kami ada lebih daripada cukup untuk mengatasi gol lawan itu berdasarkan peluang yang ada tetapi kami gagal memanfaatkan peluang yang dimiliki walaupun untuk sekurang-kurangnya membawa balik satu mata.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan pemain. Mereka bermain bagus kecuali dalam tindakan penyudah. Memang mengecewakan bila keluar sebagai pasukan yang kalah dalam perlawanan yang dikuasai dan begitu banyak peluang dicipta.

"Gawang kami pula dibolosi daripada hanya dua peluang terbaik lawan sepanjang perlawanan itu," katanya.

Kedua-dua gol Kuala Lumpur dijaringkan penjaring terbanyak Liga Perdana ketika ini, Guilherme de Paula, pada minit ke-14 dan 55.

Gol pertama berpunca dari hantaran lintang manakala gol kedua berpunca daripada sepakan percuma dan kedua-duanya disudahkan dengan bijak oleh penyerang dari Brazil itu.

Sementara itu, Jelius turut menyatakan kekecewaannya dengan beberapa keputusan pengadil yang tidak memihak kepada Sabah, termasuk tidak menghadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan pertahanan Kuala Lumpur dalam separuh masa pertama.

"Saya memang kecewa dengan beberapa keputusan pengadil tetapi tidak mahu menjadikannya alasan kerana kami juga sepatutnya memanfaatkan peluang yang ada," katanya.