Issey akur keputusan Terengganu

Oleh Penulis Jemputan 6 November 2017 14754
Issey akur keputusan Terengganu
Bekas pemain import Terengganu, Issey Nakajima-Farran, berasa sangat kecewa dilepaskan pasukan walaupun telah memberikan segala-galanya kepada skuad Penyu pada musim ini, terutama membawa pasukan kembali ke Liga Super untuk musim depan.

Penyerang berusia 33 tahun itu telah beraksi selama tiga musim bersama Terengganu dan menjadi kesayangan majoriti penyokong skuad Peteh.

Walaupun beraksi baik musim ini bersama Terengganu, Issey perlu menerima hakikat bahawa dia tidak lagi berada dalam perancangan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, untuk musim depan.

Issey berasakan dia mungkin tidak sesuai dengan corak taktikal yang diterapkan oleh pasukan dan dalam masa sama, dia bersikap profesional untuk memilih tidak mahu berdendam dengan Irfan.

“Sejak hari pertama, gaya permainan yang diterapkan tidak sesuai dengan saya.

“Apa pun yang berlaku, saya telah menjalankan tanggungjawab, membawa pasukan naik ke Liga Perdana pada musim depan,” kata Issey.

Selain itu, Issey turut mengakui masih belum terfikir untuk bersara kerana masih boleh beraksi untuk beberapa musim lagi.

Malah, dia sedia mempertimbangkan mana-mana tawaran daripada pasukan dalam Liga Malaysia sekiranya ada yang mahu mendapatkan khidmatnya.

“Saya telah berada di Malaysia selama tiga musim, menjaringkan 32 gol dalam 61 penampilan dan apabila anda mencapai usia 31 tahun, anda akan berusaha untuk membuktikan kepada semua bahawa anda masih memiliki sentuhan di depan gol.

“Saya rasa saya masih memilikinya dan masih ada perkara yang perlu saya buktikan kepada semua,” tambahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen