Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, setakat ini belum menerima sebarang permohanan rasmi daripada kelab DRB-Hicom untuk menarik diri daripada saingan Liga Perdana musim depan.

Desas-desus penarikan diri DRB-Hicom kini bertiup kencang di laman sosial, namun Kevin menegaskan FMLLP tidak boleh memberi sebarang pengesahan mengenai perkara ini sehingga kelab itu membuat permohonan secara rasmi untuk menarik diri.

Difahamkan, DRB-Hicom akan membuat kenyataan rasmi berhubung kedudukan mereka dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, kami tidak mendapat sebarang notis rasmi kecuali apa yang dibaca melalui media sosial.

"Selama ini, kelab DRB-Hicom telah mengurus pasukan mereka secara profesional, jadi saya rasa jika ada apa-apa makluman yang akan dilakukan, saya yakin mereka akan melakukannya secara rasmi," ujarnya.

Kevin mengakui ia mengecewakan jika DRB-Hicom sah menarik diri kerana mereka juga adalah salah satu kelab tempatan yang mempunyai stadium sendiri di Tanjung Malim selain Felda United dan juga Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pasukan itu juga sebelum ini mempunyai perancangan untuk memajukan kelab itu sebagai satu jenama dalam kalangan penduduk daerah Tanjung Malim.

"Arah tuju dan pengurusan mereka cukup baik tetapi sepertimana saya katakan tadi, jika kami mendapat makluman rasmi barulah kami tahu apa punca sebenar tetapi pada saya spekulasi ketika ini hanya berkait dengan aspek ekonomi," tambahnya.

Kredit imej: Laman Facebook DRB-Hicom FC