Felda United tidak rela lagi menjadi lubuk tiga mata pasukan lawan apabila mengadakan persiapan mantap menerusi penyertaan dalam kejohanan pramusim di Indonesia menjelang saingan Liga Super 2020.

2019 bukanlah musim yang baik buat The Fighters berbanding beberapa musim terdahulu.

Ia menyaksikan skuad bimbingan Nidzam Jamil itu sering bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran liga.

Terselamat di hujung saingan, The Fighters sekadar merekodkan empat kemenangan daripada 22 perlawanan musim lalu.

Namun, mereka tidak mahu episod sama berulang apabila membuat persiapan lebih rapi kali ini dengan menyertai Piala Gubernur Sumatra Utara di Medan, Indonesia, dari 17 hingga 19 Januari ini.

"Kami baru sahaja selesai menjalani sesi latihan di Felda Hot Spring, Sungai Klah.

"Aktiviti ini bagi tujuan membentuk keserasian dan persefahaman antara pemain supaya menjadi lebih baik," kata Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman.

Kejohanan itu akan turut disertai PSMS Medan, Geylang United dari Singapura dan Boeung Ket dari Kemboja.

Sememangnya, ia platform terbaik buat Nidzam untuk membentuk skuad ampuh menjelang cabaran getir musim 2020.

"Mungkin pada Februari kelak, kami akan lebih banyak mengadakan perlawanan persahabatan di Jengka.

"Kami berhasrat wujudkan perlawanan merebut Piala Pengerusi Felda di antara Felda dengan Pahang dan ia masih di peringkat perbincangan."


Editor: Shaiful Shamsudin