Felcra FC menyuarakan kesediaannya untuk beraksi dalam Liga Perdana musim depan sebagai pengganti kepada Sime Darby FC yang menarik diri.

Menurut Timbalan Presiden Felcra FC, Datuk Hazian Murad, kelab itu kini hanya menanti kata putus daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kedudukan mereka.

Felcra tewas 1-0 secara agregat dalam separuh akhir Piala FAM musim ini, namun tindakan Sime Darby menarik diri merintis kemungkinan buat Felcra ke Liga Perdana.

"Buat masa ini, kami masih lagi menunggu hitam putih daripada FAM. Selepas mendapat surat tawaran -- kalau ada -- daripada FAM, Insya-Allah kami akan panjangkan kepada Lembaga Felcra untuk membuat keputusan.

"Sekarang ini, pasukan sudah bersedia dan jurulatih pun sudah bersedia," katanya.

Hazian mengakui skuadnya perlu penambahbaikan dalam usaha memantapkan lagi barisan untuk saingan Liga Perdana dan sudah mengadakan rundingan awal dengan beberapa pemain berpengalaman.

Namun, Felcra tidak lagi mengekalkan khidmat penyerang skuad bawah 23 tahun negara, N. Thanabalan.

"Kami ada berurusan dengan Negeri Sembilan di mana kami rasa mereka mahukan pemain itu kembali ke sana.

"Saya tiada masalah untuk melepaskan Thanabalan. Sekurang-kurangnya kami sudah menaikkan namanya. Dia juga mengharumkan nama negara dan Felcra," tambahnya.