Penyerang Kelantan United FC, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, mendedahkan dia menerima beberapa tawaran daripada pasukan ternama untuk musim depan selepas meledak 27 gol dalam 25 perlawanan Liga M3.

Bagaimanapun, anak jati Kota Bharu itu masih mempertimbangkan tawaran berkenaan kerana sudah sebati dengan Kelantan United yang membantunya menghidupkan kembali kariernya dalam peta bola sepak tempatan.

“Setakat ini, jujur saya akui memang ada (tawaran) beberapa pasukan. Daripada Liga Super ada dan Liga Perdana pun ada. Buat masa ini, saya belum boleh kata apa-apa lagi.

"Kalau ikutkan hati, saya memang sayang pasukan ini sebab dah main lama dengan kawan-kawan semua sejak daripada pasukan Kelantan lagi tetapi jika ia baik untuk karier saya, saya akan buat keputusan (berhijrah ke pasukan baru)," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini.

Mengulas lanjut, Fakhrul Zaman terhutang budi kepada jurulatih, Zahasmi Ismail, serta pengurusan pasukan yang bertanggungjawab memberi nafas baru dalam kariernya.

Pada masa yang sama, pemain berusia 25 tahun itu turut berterima kasih kepada rakan penyerang dari Gambia, Gassama Alfusainey, yang membantunya melakar 27 jaringan dalam kancah Liga M3 musim ini.

Untuk rekod, Fakhrul Zaman pernah menyarung jersi Kelantan pada 2016 hingga 2018 selain pernah dipinjamkan ke MIFA yang dikini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC pada pertengahan musim 2017, namun prestasinya agak tenggelam setelah kurang diberi peluang untuk beraksi.

Kelantan United bakal beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan setelah mengesahkan kejuaraan Liga M3 musim ini menerusi kemenangan selesa 5-0 ke atas wakil Kedah, Glory United FC, di Stadium LADA, Langkawi 27 Oktober lalu.

Pasukan berkenaan telah mengumpul 65 mata setelah beraksi 25 perlawanan, berkelebihan 12 mata ke atas pencabar terdekat, Kuching FA, dengan baki satu perlawanan.

-- BERNAMA