Devan bawa mandat kembalikan kegemilangan Negeri Sembilan

Oleh Muzaffar Musa 1 Disember 2020 500
Devan bawa mandat kembalikan kegemilangan Negeri Sembilan
K. Devan dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Negeri Sembilan untuk diberikan mandat mengangkat kembali martabat pasukan itu dalam peta bola sepak tempatan sebagaimana yang dilakukannya pada 2006.

Jelas Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri, keputusan itu dicapai melalui kata sepakat ahli jawatankuasa eksekutif persatuan itu dalam satu sesi temu duga pada 30 November lalu berdasarkan pengalaman yang dimiliki jurulatih berusia 59 tahun itu.

Devan, yang merupakan bekas pemain skuad Jang itu, pernah mengepalai barisan kejurulatihan Negeri Sembilan dari 2004 hingga 2006  dan berhasil membawa pasukan itu menjadi Juara Liga Super musim 2005-06 sebelum kembali menerajui pasukan itu pada 2015.

"Sudah pasti kami mencuba untuk mengembalikan prestasi permainan pemain yang bakal dipilihnya bagi saingan musim ini," kata Tunku Syed Razman kepada Nadi Arena.

"Apa yang pasti, kami mencuba untuk menambah baik pasukan utama kami daripada prestasi yang agak hambar musim lalu.

"Saya pasti dan yakin dia (Devan) dapat mewujudkan satu pasukan yang lebih mantap. 

"Kami memberikan seluruh keyakinan dan kepercayaan untuk dia melakukannya.

"Hasrat dan hala tuju PBNS adalah untuk mengembalikan daya saing pasukan dan pemain dapat mempamerkan prestasi tinggi untuk bersaing dengan pasukan lain, dan dalam masa panjang, kami dapat kembali ke saingan Liga Super," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen