Pasukan berstatus 'feeder', Terengganu FC II (TFC II), mungkin mengekalkan khidmat Bruno Suzuki dan Marcel N'Guessan bagi menghadapi Liga Perdana musim depan.

Ketua jurulatihnya, Roshadi Wahab, mengakui akan berbincang dengan pengendali TFC, Mohd Nafuzi Zain, mengenai pemilihan pemain import kedua-dua pasukan itu.

Bruno menjadi penjaring terbanyak TFC II dengan 13 gol keseluruhan dalam kancah Liga Perdana dan Piala Cabaran selain turut membantu TFC dalam aksi Liga Super.

Pemain kelahiran Brazil itu dan N'Guessan antara yang dibawa Nafuzi ke Bangladesh yang menyaksikan TFC muncul juara Piala Antarabangsa Sheikh Kamal, kelmarin.

"Kontrak kesemua awang import akan berakhir hujung bulan ini dan jika dilihat, prestasi Bruno agak baik ketika diperlukan TFC.

"Apapun, saya perlu sepakat dengan Nafuzi kerana kami mahu memastikan hanya yang terbaik akan dipilih untuk menyarung jersi negeri ini.

"Nasib (Serhii) Andrieiev dan Akanni (Sunday Wasiu) pula saya serahkan kepada pihak pengurusan," katanya.

Sementara itu, Roshadi, yang menggantikan Tengku Hazman Raja Hassan sebagai ketua jurulatih TFC II bulan lalu, belum menentukan barisan kejurulatihnya.

Walaupun timbul beberapa nama seperi bekas pemain, Sapian Wahid dan Mohd Noor Derus, Roshadi menyifatkan ia masih di peringkat cadangan.

"Tiada pengesahan lagi daripada pihak pengurusan dan nama-nama itu hanya kemungkinan," tambahnya.