Pemain berpengalaman, Amri Yahyah, menganggap tiada rezeki untuknya bertemu Selangor dalam saingan liga musim 2020 selepas memilih untuk menyarung jersi Sarawak United yang akan beraksi dalam kancah Liga Perdana.

Pelbagai khabar angin yang memperkatakan tentang penghijrahan Amri, akhirnya pemain tersebut mengesahkan statusnya kini bersama Sarawak United.

Lantaran itu, pemain berusia 40 tahun berkenaan menjadi harapan besar The Golden Hornbill dan ia secara tidak langsung menafikan hasratnya untuk bertemu dan melunaskan dendam terhadap Gergasi Merah ekoran isu terdahulu.

Amri menganggap tiada rezeki untuknya mengotakan janji demi memastikan kekalahan Selangor di tangan pasukan yang bakal diwakilinya itu.

"Bagi saya, ia adalah soal peribadi, saya tidak ada hubungan lagi (dengan mereka).

"Kalau (ditakdirkan pasukan kami) berjumpa, maka kami akan berjumpa tetapi kalau tidak, ia bukan rezeki saya.

"Perlawanan bersama Sarawak United lebih penting daripada perlawanan pasukan lain," katanya di padang bola sepak PULAPOL, hari ini.

Amri mendedahkan pengesahan bersama Sarawak dibuat pada saat-saat akhir kerana ingin memberi laluan kepada bekas pemain Selangor yang lain untuk mengesahkan status mereka terlebih dahulu sebelum dia sendiri memutuskan hala tujunya.

"Saya sebenarnya menunggu (bekas) rakan sepasukan di Selangor untuk mendapat pasukan (baru) terlebih dahulu.

"Saya bersyukur mereka telah mendapat pasukan baru, kemudian barulah saya memikirkan pasukan yang akan diwakili."



Editor: Shaiful Shamsudin