Pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka, percaya pengendali pasukan, Unai Emery, telah membantunya meningkatkan mutu permainannya.

Pemain kebangsaan Switzerland itu dihujani kritikan ketika beraksi di bawah pimpinan Arsene Wenger tetapi mempamerkan persembahan yang konsisten musim ini di bawah kendalian bekas pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Emery.

Pemain berusia 26 tahun itu tampil dalam setiap aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan menjadi tonggak kejayaan pasukan merakamkan sembilan kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Xhaka -- yang beraksi untuk Switzerland ketika tewas 2-1 kepada Belgium, Jumaat lalu -- berterima kasih kepada Emery kerana membantunya mendapatkan semula sentuhan terbaiknya.

"Dalam peringkat taktikal, Emery telah membantu saya," kata Xhaka.

"Kami memerlukan masa untuk memahami pendekatannya dan segalanya berjalan lancar dan saya terus mempamerkan persembahan yang konsisten."

Arsenal akan kembali dalam saingan EPL berdepan Leicester City minggu depan.