Pemain sayap Chelsea, Willian, memberi bayangan kemungkinan akan menyertai Manchester United apabila mendedahkan dia mahu bekerjasama dengan Jose Mourinho semula.

Willian dan Mourinho memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge dan pemain Brazil itu dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.

Mourinho dilihat mahu memperkuatkan barisan serangan sebelum jendela perpindahan berakhir Khamis ini sambil pemain sayap Croatia, Ivan Perisic, juga menjadi salah satu sasaran utama.

Willian mendedahkan bahawa dia gembira untuk kekal bersama Chelsea bagi musim 2018/19 tetapi pemain berusia 29 tahun itu tidak menolak untuk kembali bersama Mourinho.

"Mourinho adalah pengurus terbaik yang pernah saya temui dan bekerja. Kami memiliki hubungan yang baik sebagai rakan," kata Willian.

"Kadangkala, kami berbual, bertukar mesej melalui WhatsApp. Dia adalah seorang pengurus yang baik, saya benar-benar menikmati tempoh bekerja dengannya. Saya berharap satu hari nanti akan dapat bekerjasama semula dengan Mourinho."

Barcelona dilaporkan telah melakukan beberapa bidaan untuk mendapatkan khidmat Willian tetapi ditolak Chelsea, namun pemain sayap itu menerangkan situasi sebenar.

"Saya tidak tahu sekiranya ada tawaran daripada Manchester United tetapi sesuatu telah berlaku.

"Ia juga sering hadir menerusi internet. Mourinho sentiasa bercakap dengan ejen saya, menyuruhnya membawa saya masuk. Dia tidak pernah menghubungi saya tetapi sering menghantar mesej.

"Namun, saya gembira bersama Chelsea dan mahu kekal bersama kelab ini. Saya juga sukakan kehidupan di London. Ia adalah bandar yang hebat dan keluarga saya telah menyesuaikan diri di sini. Sebab itu saya mahu kekal bersama Chelsea."