Manuel Pellegrini telah dipecat West Ham United daripada jawatan pengurus selepas kelab itu dibezakan hanya satu mata dengan zon penyingkiran.

Kekalahan 2-1 di laman sendiri di tangan Leicester City awal pagi tadi dilihat menjadi aksi terakhirnya bersama pasukan dari London itu.

West Ham hanya dibezakan satu mata daripada kelompok tiga terbawah dan pengerusi bersama, David Sullivan, berkata pihak tertinggi pasukan itu perlu mengambil tindakan.

"Ia mengecewakan dan kami perlu membuat keputusan. Pellegrini adalah individu yang berani dan menjadi satu penghargaan untuk bekerjasama dengan seseorang yang berkaliber sepertinya," katanya.

"Namun, jelas sekali perubahan diperlukan dalam kelab untuk kembali ke landasan, sekali gus mencapai sasaran musim ini.

"Kami rasa perlu untuk bertindak sekarang dalam usaha memberikan masa yang cukup untuk pengendali baru mencuba dan mencapai sasaran itu."

Pellegrini tiba di Stadium London pada Mei 2018 menerusi perjanjian tiga tahun dan mengakhiri saingan liga musim lalu dalam kelompok 10 teratas.

Namun, pengendali dari Chile itu -- yang mengemudi Manchester City meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim 2013-14 -- gagal mengelakkan West Ham daripada tewas 10 daripada 19 perlawanan musim ini walaupun berbelanja besar membawa masuk Sebastien Haller dan Pablo Fornals.

Bekas pengurus, David Moyes, dijangka menjadi pilihan untuk menggantikan tempat Pellegrini sambil pengendali Bournemouth, Eddie Howe, dan Rafael Benitez turut dikaitkan dengan jawatan itu.


Editor: Nafis Abdullah