Slaven Bilic telah dipecat oleh West Ham selepas hanya mencipta dua kemenangan daripada 11 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Kemenangan The Hammers hadir ketika mereka bertemu pendatang baru, Huddersfield Town, dan Swansea City.

Prestasi West Ham terus menjunam apabila Brighton and Hove Albion melakar kemenangan 3-0 di Stadium London pada 20 Oktober lalu sebelum skuadnya melepaskan dua gol pendahuluan untuk seri 2-2 dengan Crystal Palace.

Kekalahan 4-1 kepada Liverpool pada Sabtu lalu memastikan masa Bilic sampai ke penghujungnya dan bekas pengurus Everton dan Sunderland, David Moyes, dilaporkan bakal dipilih menjadi penggantinya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab, "West Ham United mengesahkan bahawa Bilic mengundurkan diri daripada mengendalikan pasukan ini.

"Pengerusi kelab dan ahli lembaga pengarah West Ham mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang telah diberikan oleh Bilic bersama-sama staf kejurulatihannya."

West Ham bakal berkunjung ke Watford pada 19 November selepas aksi perlawanan antarabangsa, yang bakal dilihat sebagai tugasan pertama Moyes -- yang juga dipecat oleh Sunderland selepas The Black Cats tersingkir daripada saingan EPL pada penghujung musim lalu.

Moyes menggantikan Sam Allardyce di Stadium of Light, Julai tahun lalu, tetapi bekas pengendali Everton dan Manchester United itu hanya melakar enam kemenangan sepanjang musim 2016-17.