SHEFFIELD UNITED 1 WEST BROMWICH ALBION 2

Kieran Gibbs menjaringkan gol kemenangan ketika West Bromwich Albion bangkit menewaskan Sheffield United 2-1 dalam aksi Liga Kejuaraan, awal pagi tadi.


The Baggies ketinggalan di awal permainan selepas David McGoldrick meletakkan The Blades di depan pada minit ke-12.

Bagaimanapun, Gareth Barry kembali mengikat kedudukan buat West Brom sebelum Gibbs melengkapkan kebangkitan ketika berbaki 14 minit perlawanan untuk pasukan itu melengkapkan siri enam perlawanan tanpa kekalahan.

Mark Duffy melakukan hantaran licik yang disudahkan McGoldrick untuk membuka gol pendahuluan tuan rumah.

Bagaimanapun, kem Sheffield berang kerana dinafikan sepakan penalti selepas Ahmed Hegazi menyiku Billy Sharp, lima minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Suasana di Bramall Lane kian tegang selepas Harvey Barnes membuka ruang buat Barry menyamakan kedudukan sebaik babak kedua bersambung.

West Brom terus memberikan tekanan ke atas kubu Sheffeild, namun serangan balas mereka gagal membuahkan hasil dengan percubaan Barnes diselamatkan Dean Henderson.

Barnes kemudian membuktikan kemampuannya sebaik membantu Gibbs menjaringkan gol kemenangan pelawat.

Dia yang menerima hantaran lintang daripada Matt Phillips, menghantar bola yang kemudian ditolak masuk Gibbs menggunakan tumit.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Darren Moore itu kini hanya ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga kedua liga, Leeds United, yang akan bertandang ke Bolton Wanderers, malam ini.

Sheffield pula jatuh ke tangga keempat, dua mata di belakang West Brom.

Tiga pasukan terbaik Liga Kejuaraan akan layak secara automatik ke Liga Perdana Inggeris, musim depan.