Pengurus West Brom, Alan Pardew, takut kehilangan kapten kelab, Jonny Evans, dalam jendela perpindahan Januari dengan mengatakan "pemain terbaik anda sentiasa terdedah".

Evans menjadi subjek spekulasi yang mengaitkannya dengan perpindahan dari The Hawthorns selepas kelab itu dilaporkan menolak tawaran bernilai £25 juta (RM137.2j) daripada Arsenal dan Leicester City sebelum permulaan musim ini.

Kontraknya akan tamat pada penghujung 2018-19 dan Pardew mengatakan khabar angin dalam media mengenai kemungkinan dia akan ke Arsenal atau Manchester City pada Januari ini adalah sesuatu yang tidak menghairankan.

"Ada minat ke atasnya sejak musim panas lalu dan ia difahami," kata Pardew kepada BBC Sport. "Ia dijadikan tajuk utama media.

"Jonny sedang menguruskannya. Dia hebat ketika menentang Crystal Palace (tugasan pertama Pardew dengan perlawanan yang berakhir 0-0).

"Anda tidak pernah berasa selesa apabila anda mempunyai pemain hebat kerana kelab lain memburunya."

Evans telah memulakan 12 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama West Brom musim ini dengan menjaringkan satu gol ketika diikat 2-2 dengan Watford pada September lalu.

Pemain berusia 29 tahun itu menyertai Baggies dari Manchester United pada Ogos 2015 dengan bayaran yang tidak didedahkan.

Pardew menambah: "Pemain terbaik anda sentiasa terdedah. Jonny Evans pastinya salah seorang daripada mereka dan dia kapten kami.

"Adakah saya mahu kehilangan dia? Sudah tentu tidak. Adakah takut kehilangannya? Sudah tentu ya."