ARSENAL 2 BRIGHTON 0

Arsene Wenger memuji tahap permainan konsisten yang dipamerkan oleh Arsenal selepas melakar kemenangan ketiga dalam tempoh seminggu dengan menewaskan Brighton and Hove Albion 2-0 di Stadium Emirates, semalam.


Jaringan hadir daripada Nacho Monreal dan Alex Iwobi bagi memastikan Arsenal meraih mata penuh daripada perlawanan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri, kemenangan yang hadir selepas mencipta kemenangan 4-2 ke atas Bate dalam saingan Liga Europa (UEL), awal pagi Jumaat lalu.

Wenger mengakui pemain-pemainnya tidak berada pada tahap terbaik berdepan Brighto, tetapi menggariskan kepentingan untuk meraih kemenangan sebelum saingan liga berehat untuk memberi ruang kepada aksi perlawanan antarabangsa.

"Kami memastikan gawang gol tidak dibolosi dan meraih tiga mata," kata Wenger.

"Kami bermain dengan lebih lancar berbanding sebelum ini, ia sangat penting kami memenangi perlawanan ini.

"Ia merupakan satu perlawanan yang sukar ketika bertemu BATE tetapi kami berjaya meraih kemenangan selepas melakukan banyak pertukaran. Kami berjaya mengekalkan momentum dan ia menggembirakan saya.

"Dalam setiap musim, anda akan melalui saat yang sukar dan pasukan ini telah mempamerkan kualiti sebenar dalam perlawanan berdepan Brighton," katanya.

Wenger mengesahkan bahawa pemain-pemain yang mengalami kecederaan, Laurent Koscielny (buku lali), Danny Welbeck (pangkal paha) dan Mesut Ozil (lutut), akan kekal bersama pasukan dan tidak akan bersama skuad kebangsaan masing-masing.

"Kami baru sahaja bermain tujuh perlawanan, ada 31 lagi yang perlu dihadapi.

"Tahun lalu, selepas enam perlawanan, Manchester City mendahului saingan dengan 18 mata.

"Perjalanan masih jauh," katanya.