Arsene Wenger percaya Alex Oxlade-Chamberlain sepatutnya kekal di Arsenal dan berjuang merebut tempat, bukannya berpindah ke Liverpool.

Oxlade-Chamberlain, yang mempunyai baki setahun kontrak bersama Arsenal, menyertai Liverpool menerusi perjanjian bernilai £40 juta (RM 218j) selepas The Reds membelasah The Gunners 4-0 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Ogos lalu.

Arsenal berpeluang untuk membalas dendam di Stadium Emirates, awal pagi esok, tetapi kali ini Oxlade-Chamberlain akan mewakili pihak lawan.

Pemain berusia 24 tahun itu, bagaimanapun, bergelut untuk beraksi lebih kerap selepas beralih ke Anfield apabila hanya memulakan lima perlawanan dalam EPL.

Sehubungan itu, Wenger mempersoalkan keputusan Oxlade-Chamberlain itu.

"Adakah dia pasti ada tempat di sana?" ujar Wenger. "Itulah jawapannya, tempat anda dalam kelab besar tidak akan terjamin, anda berdepan persaingan sengit di setiap posisi.

"Pada awal musim ini, empat pemain memasuki tahun terakhir kontrak mereka (Oxlade-Chamberlain, Alexis Sanchez, Mesut Ozil dan Jack Wilshere). Ya, saya mahu dia melanjutkan kontraknya. Dia memutuskan untuk pergi. Kami menghormati keputusannya tetapi pada penghujung hari, saya memutuskan untuk menjualnya.

"Saya percaya bahawa dia telah membulatkan tekadnya dan kami terpaksa berkompromi. Dia akan menjadi pemain penting untuk England dan dia akan terus berkembang.

"Apa yang anda mahukan? Menjadi pemain yang hebat dan tidak perlu berjuang? Apakah anda mahu berada di atas, duduk di kerusi goyang sambil berkata 'Saya seorang pemain ternama -- Saya tidak perlu berjuang'?

"Ia bukan seperti itu. Semua boleh melakukannya, begitu juga dia. Ssaya yakin dia adalah sebahagian daripada pemain terbaik."