Wenger label tindakan sisih Ozil satu pembaziran 

Oleh Shaiful Shamsudin 12 Oktober 2020 2396
 Wenger label tindakan sisih Ozil satu pembaziran 
Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, mengakui bingung melihat saham Mesut Ozil menjunam teruk di kelab lamanya itu.

Ozil terus dilayan dengan berat sebelah dan terbaru, disisihkan The Gunners dalam skuad 24 pemain Liga Europa.

Pemain berusia 31 tahun itu belum membuat kemunculan bersama skuad kendalian Mikel Arteta berkenaan musim ini dan penampilan terakhirnya adalah pada Mac lalu sebelum saingan ditangguhkan akibat krisis COVID-19.

Begitupun, Ozil terus dalam skuad itu selepas jendela perpindahan ditutup minggu lalu dan menikmati gaji £350,000 (RM1.8 juta) seminggu dengan kontraknya akan berakhir akhir penghujung kempen ini.

Wenger membawa masuk pemenang Piala Dunia 2014 itu ke kelab London utara terbabit daripada Real Madrid pada 2013, namun pengurus berbangsa Perancis tersebut sukar memahami bagaimana pemain kreatif seperti itu dipinggirkan.

"Dia hilang daripada radar sejak saya meninggalkan kelab itu," kata Wenger kepada Welt am Sonntag.

"Dia seorang seniman tetapi tidak ada tempat lagi untuk artis dalam bola sepak moden.

"Punca sebenar dia tidak berada di tempat yang sepatutnya masih menjadi misteri kepada saya."

 

Wenger -- yang menyaksikan Arsenal kini dipimpin oleh bekas ketua pasukannya, Arteta -- percaya penyokong Arsenal bagaikan dirompak dengan melihat kelibat Ozil masih berlegar-legar di kelab itu.

"Ia satu tindakan yang sia-sia, untuknya sendiri dan bagi semua orang yang menggemari bola sepak," tambahnya.

"Orang pergi ke stadium untuk melihat pemain sepertinya."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen