Arsene Wenger percaya Mikel Arteta memiliki masa depan yang cerah selaku pengurus tetapi memerlukan sokongan padu dari bilik persalinan jika Arsenal mahukan bekas anak didiknya itu menjadi pengurus baru.

The Gunners telah mengadakan perbincangan dengan bekas kapten kelab itu dan dijangka melantiknya menggantikan Unai Emery.

Arteta, 37, menghabiskan masa selama lima tahun di Emirates selaku pemain sebelum bersara dan menggalas jawatan jurulatih bersama Manchester City pada 2016.

Dia dilihat mempunyai potensi selepas membantu Pep Guardiola di City tetapi bekas pengendali Arsenal, Wenger, berkata pihak kelab perlu meredakan tekanan kerana dia kurang berpengalaman.

"Saya adalah penyokong Arsenal dan ketika ini, saya menyokong pengurus yang mengendalikan pasukan, iaitu Freddie Ljungberg," katanya.

"Apabila Arteta mengambil-alih, saya akan menyokongnya.

"Sudah tentu Arsenal akan melalui tempoh yang sukar. Lebih baik saya tidak memberi komen tentang perkara itu. Saya juga merana seperti penyokong lain."

Dia menambah: "Saya percaya Arteta mempunyai masa depan yang cerah. Dia tentunya telah banyak belajar daripada jawatan pembantu jurulatih dan selepas itu, dia perlu berdepan dengan hakikat bahawa dia tidak memiliki pengalaman di tahap itu.

"Dia perlu menerima sokongan penuh dan mendapatkan persekitaran yang baik di kelab."