Pengurus Huddersfield Town, David Wagner, menafikan kemungkinan dia akan kembali Borussia Dortmund sebagai ketua jurulatih.

Dortmund memecat Peter Bosz semalam berikutan keputusan buruk dan segera melantik bekas bos Cologne, Peter Stoger.

Wagner, yang menghabiskan masa empat tahun mengendalikan pasukan simpanan kelab itu, dikaitkan sebagai pengganti dalam beberapa minggu ini.

Tetapi jurulatih berusia 46 tahun berkenaan menafikan dakwaan yang mengatakan dia bakal menggantikan Bosz.

"Tidak. Tiada kontrak," jawab Wagner selepas diminta mengulas mengenai perkara itu.

Wagner, yang kelihatan tidak akan meninggalkan Stadium John Smith, membimbing skuad Terriers berada di tangga ke-12 selepas 16 perlawanan dalam kempen sulung Liga Perdana Inggeris.

Kemenangan 2-0 ke atas Brighton and Hove Albion menamatkan badi kekalahan dalam empat perlawanan dan menyuntik momentum menjelang kunjungan Chelsea, esok.

Wagner teruja dengan peluang untuk menambah satu lagi kemenangan besar selepas mengalahkan Manchester United 2-1 Oktober lalu.

"Ia adalah penting untuk memungut mata daripada aksi menentang enam pasukan terbaik jika mahu kekal berada di atas," katanya.

"Setakat ini, kami mengumpul tiga mata dan Chelsea merupakan pasukan terakhir daripada enam skuad teratas yang kami hadapi dalam separuh pertama musim ini.

"Tidak ada keraguan mengenainya, Chelsea adalah salah sebuah pasukan besar -- mungkin pasukan terbesar -- di England. Ia kerana mereka adalah pasukan yang memenangi gelaran musim lalu.

"Untuk bermain dengan mereka di gelanggang sendiri, ia akan menjadi hari yang menarik untuk kami dan diharapkan kami berjaya."