Wagner pertahan ketumpulan penyudah Mounie

Oleh Penulis Jemputan 11 November 2018 92
Wagner pertahan ketumpulan penyudah Mounie
HUDDERSFIELD TOWN 1 WEST HAM UNITED 1

Pengurus Huddersfield Town, David Wagner, kekal percaya Steve Mounie akan kembali menemui sentuhan penyudah selepas kegagalan penyerang itu menyaksikan pasukannya sekadar terikat seri 1-1 dengan West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.


Penyerang antarabangsa Benin itu terlepas dua peluang -- satu lawan satu -- berdepan Lukasz Fabianski yang meneruskan kemarau jaringannya sejak awal musim ini.

Mounie gagal menambah tujuh jaringan Liga Perdana musim lalu dan kegagalannya itu mengundang padah buat The Terriers selepas Felipe Anderson menjaringkan gol penyamaan West Ham pada minit ke-74.

Alex Pritchard sebelum itu menjadi penjaring gol pertama The Terrriers di laman sendiri sejak April lalu, namun pergelutan di barisan penyerang kekal berterusan buat pasukan kedua tercorot itu.

"Mounie mempamerkan aksi yang baik hari ini. Dia banyak membantu kami.

"Dia memenangi hampir kesemua perebutan bola di udara dan kurang bernasib baik dengan tandukan itu. Dua daripada percubaannya berjaya diselamatkan Fabianski.

"Benar dia masih belum menemui sentuhan jaringan, namun saya kekal percaya kepadanya," kata Wagner kepada wartawan.

Wagner mengesahkan pertahanan kiri pasukannya, Chris Lowe, dikejarkan ke hospital ekoran kecederaan ligamen bahu.

Insiden itu tiba selepas permainan tidak kemas West Ham dalam babak pertama.

Kegagalan barisan pertahanan mereka menyaksikan Pritchard memperoleh jaringan pembukaan seawal minit keenam perlawanan.

Bagaimanapun, mereka bangkit memperkemaskan aksi dalam babak berikutnya untuk mengekalkan rekod tiga perlawanan tanpa kalah buat pengendali pasukan, Manuel Pellegrini.

"Kami bermain dengan sangat buruk dalam separuh masa pertama," kata Pellegrini.

"Mungkin kami bermula dengan baik menerusi dua percubaan ke gawang Huddersfield.

"Namun, apabila mereka menjaringkan gol, kami mula hilang arah.

"Kami memperbaikinya dalam babak kedua dan memiliki empat peluang sebelum menyamakan kedudukan.

"Saya bersyukur kerana tidak tewas dalam perlawnan ini. Ia satu keputusan yang adil," katanya lagi. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen