Jamie Vardy mahu menjaringkan 50 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi membantunya mendapatkan tempat dalam skuad ke Piala Dunia, musim panas nanti.

Penyerang Leicester City itu telah menjaringkan gol ke-50 dalam saingan EPL ketika seri 2-2 dengan Manchester United, sebelum Harry Maguire membantu The Foxes meraih satu mata pada penghujung permainan.

Vardy meledak gol melepasi David De Gea dalam babak pertama di Stadium King Power dan meraikan jaringan itu di hadapan penyokong tuan rumah

“Saya sangat gembira dengan gol saya yang ke-50, ia seharusnya hadir lebih awal tetapi saya menyimpannya untuk melakukannya ketika bertemu lawan yang sukar.

"Anda dapat menyaksikan setiap gol yang dijaringkan cukup bermakna buat saya. Saya berharap dapat terus meledak gol," katanya.

Di sebalik gol ke-50 Vardy dalam saingan EPL, 21 daripadanya hadir ketika bertemu United, Manchester City, Arsenal, Chelsea, Tottenham dan Liverpool.

Gol pertama Vardy bagi saingan EPL tiba ketika bangkit mengatasi United 5-3 sebelum melakar rekod menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut, juga ketika berdepan The Red Devils.

“Saya tidak meletakkan sebarang perancangan dalam setiap jaringan saya. Saya hanya berjaya melakukannya pada masa yang tepat.

“Saya akan terus berusaha untuk mencetak lebih banyak jaringan selepas ini. Saya berharap dapat menambah 50 gol dalam saingan EPL," katanya lagi.

Vardy turut meletakkan sasaran untuk beraksi dalam Piala Dunia musim panas nanti dan mahu terus mengintai peluang bagi menarik perhatian Gareth Southgate.

“Saya menyedari tiada pemain yang mempunyai jaminan dalam skuad England dan segala-galanya bergantung kepada prestasi anda bersama kelab jika mahu terpilih.

“Saya mahu memberikan tumpuan kepada Leicester dan berharap dapat melakukan yang terbaik."