Van Dijk akhirnya lengkapkan perpindahan 'rekod dunia' ke Liverpool 

Oleh Penulis Jemputan 28 Disember 2017 3500
Van Dijk akhirnya lengkapkan perpindahan 'rekod dunia' ke Liverpool 
Perpindahan Virgil van Dijk dari Southampton ke Liverpool diselesaikan dengan bayaran yang dilaporkan sebanyak £75 juta (RM410 juta), sekali gus mencipta rekod dunia untuk seorang pemain pertahanan.

Pemain antarabangsa Belanda itu berada di ambang menyertai kelab Merseyside itu pada awal musim ini selepas skuad The Reds dituduh melakukan pendekatan yang menyalahi peraturan.

Liverpool mengeluarkan permohonan maaf kepada Southampton mengenai insiden itu dan perjanjian tersebut telah dihidupkan semula, dengan Van Dijk menandatangani kontrak untuk tempoh masa yang tidak didedahkan bermula dari 1 Januari ini.

Walaupun butiran tepat perpindahan belum diumumkan, skuad The Saints mengesahkan yuran itu "akan mencipta rekod dunia baru bagi pemain pertahanan".

"Gembira dan satu penghormatan bersetuju untuk menjadi pemain Liverpool FC!" tulis Van Dijk dalam Instagram. "Hari ini adalah hari yang membanggakan bagi saya dan keluarga saya kerana saya menyertai salah sebuah kelab terbesar dalam bola sepak dunia!

"Saya tidak sabar menyarung baju merah terkenal buat kali pertama di depan Kop dan akan memberikan segala yang saya ada untuk membantu kelab hebat ini mencapai sesuatu yang istimewa pada tahun-tahun akan datang."

Manchester City dilaporkan sedang menyediakan £60 juta (RM328 juta) untuk Van Dijk, tetapi Reds menewaskan pendahulu Liga Perdana itu bagi mendapatkan tandatangan pemain berkenaan.

Van Dijk sebelum ini membuat permintaan perpindahan dalam usahanya berhijrah ke Liverpool, yang membawa kepada keputusan pengurus Southampton, Claude Puel, menyisihkan tonggak itu daripada pasukan utama.

Pemain berusia 26 tahun itu sekali lagi terpaksa berada di luar apabila pengganti Puel, Mauricio Pellegrino, memilih untuk tidak menggunakan pemain berkenaan di sebalik spekulasi masa depannya berterusan.

Van Dijk tidak hadir ketika Southampton dibelasah Tottenham 5-2 di Wembley pada 'Boxing Day' dan dia tidak bermain sejak The Saints tewas kepada Leicester City pada 13 Disember lalu.

Ketibaan pemain Belanda itu akan merangsang pertahanan Liverpool yang mendapat kritikan hebat apabila dibolosi 23 gol Liga Perdana musim ini.

Van Dijk akan bersedia bermain untuk Liverpool menentang Porto dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah pada Februari depan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen