Van de Beek jadikan legenda Belanda penanda aras di Old Trafford 

Oleh Shaiful Shamsudin 17 September 2020 281
 Van de Beek jadikan legenda Belanda penanda aras di Old Trafford 
Donny van de Beek ingin menikmati "peluang terbaiknya" untuk mengukir nama sebagai bintang Belanda yang pernah membarisi Manchester United.

Pemain berusia 23 tahun itu tiba di Old Trafford dari Ajax awal bulan ini menerusi perjanjian lima tahun yang bernilai £39.1 juta (RM209.4j).

Dia akan menjadi pemain ke-13 dari Belanda yang pernah mewakili The Red Devils -- senarai yang merangkumi pemain handalan seperti Jaap Stam, Ruud van Nistelrooy dan Edwin van der Sar.

 

Justeru, Van de Beek mahu menempa namanya dalam sejarah hebat United selepas membesar dengan menyaksikan beberapa rakan senegaranya memenangi gelaran utama bersama kelab itu. 

"Saya kerap menonton United (ketika saya masih kecil)," katanya kepada majalah kelab Inside United. 

"Ramai pemain Belanda pernah beraksi di sini dan ia sesuatu yang menarik untuk ditonton jika anda masih kecil dan melihat pemain Belanda beraksi di sini. 

"Daley (Blind), Edwin, Robin van Persie, anda telah melihat aksi mereka. 

"Mereka memenangi banyak gelaran dan United sering mempersembahkan permainan yang menarik, ia selalu seronok untuk ditonton."

Van de Beek tidak sabar untuk beraksi  di Old Trafford untuk pertama kalinya, tengah malam Sabtu ini, apabila skuad asuhan Ole Gunnar Solskjaer itu menjadi tuan rumah kepada Crystal Palace untuk aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL). 

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen