Ernesto Valverde menegaskan dia tidak berminat untuk membincangkan khabar angin mengenai prospek Barcelona memburu Philippe Coutinho dari Liverpool bulan depan.

Bintang Brazil itu hangat dikaitkan dengan pasukan Catalan itu dalam jendela perpindahan sebelum ini, namun gagal mencapai kata sepakat meskipun laporan mendedahkan Barca memperuntukkan dana lebih daripada €105 juta (RM508j) sebelum mereka berpaling kepada Ousmane Dembele.

Timbul spekulasi yang mereka akan menguji lagi Liverpool bulan depan, dengan Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu, sendiri akan menguruskan rundingan berkenaan.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Valverde, mengatakan tiada guna bercakap tentang khabar angin perpindahan, terutama ketika jendela itu sedang ditutup.

"Masalahnya ialah kami bercakap dalam jangka yang lama tentang pemain yang bukan sebahagian daripada kelab ini," katanya dalam sidang akhbar. "Terdapat banyak perbincangan ketika musim tutup.

"Buat masa ini, kami tidak boleh menandatangani sesiapa pun, jadi kami perlu menumpukan perhatian kepada apa yang ada sekarang.

"Membincangkan perkara ini ketika pasaran ditutup hanya akan menjejaskan kami. Apabila kita sampai kepada pasaran, saya mungkin tetap tidak mahu berbincang perkara ini!

"Pada masa ini, Coutinho bukan salah seorang pemain saya, saya mahu mengambil berat mengenai pemain saya dan permainan kami (bertemu Celta Vigo, hujung minggu ini)," katanya lagi.

Valverde juga menafikan telah berbincang dengan Arda Turan mengenai masa depannya di Barca, dengan bekas pemain antarabangsa Turki itu dikaitkan dengan Arsenal baru-baru ini berikutan potensi melibatkan pertukaran dengan Mesut Ozil.

"Saya tidak bercakap dengan Arda atau pemain lain mengenai hal seperti ini," katanya. "Masih ada masa sebelum jendela perpindahan musim sejuk."

Valverde turut mendedahkan Dembele tidak mungkin pulih daripada kecederaan hamstring dalam masa yang tepat untuk pertembungan El Clasico dengan Real Madrid pada hujung bulan ini sebagai langkah berwaspada terhadap risiko kecederaannya.