BELGIUM 2 ENGLAND 0

Jordan Henderson terpaksa dikeluarkan dalam kekalahan 0-2 England di Belgium gara-gara kecederaan -- berpotensi menambahkan lagi masalah kecederaan di kem Liverpool.


Ketua pasukan The Reds itu terpaksa memberi laluan kepada Harry Winks dalam separuh masa kedua pertembungan di Den Dreef, awal pagi tadi, bagi menafikan skuad The Three Lions mengulangi kemaraan ke pusingan akhir Liga Negara-Negara (UNL).

Bercakap selepas perlawanan, pengurus England, Gareth Southgate, mengesahkan tonggak tengah itu terpaksa dikeluarkan akibat ketegangan otot, namun enggan mengesahkannya lebih lanjut.

"Jordan mengalami sedikit ketegangan otot dalam separuh masa kedua dan berasakan dia tidak dapat meneruskan perlawanan," katanya.

"Mungkin secara perubatan, saya masih perlu menunggu (diagnosis ke atasnya) tetapi, kami hanya akan menilainya apabila pulang kelak."

Biarpun lebih menguasai permainan dan membuat percubaan dengan 16 kali berbanding separuh oleh lawan, England ketinggalan selepas 23 minit permainan menerusi ledakan Youri Tielemans (minit ke-10) dan Dries Mertens.



Liverpool akan menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City, dalam tempoh tujuh hari lagi dan kecederaan itu boleh menggugat misi mereka mempertahankan gelaran.

Jurgen Klopp mungkin kehilangan pasangan pertahanan tengah utama untuk baki musim ini berikutan Joe Gomez terpaksa menjalani pembedahan lutut minggu lalu untuk menyertai Virgil van Dijk di tepi padang untuk jangka masa panjang.

Ini bermakna Fabinho -- juga menjadi mangsa hamstring baru-baru ini -- berkemungkinan akan memainkan sebahagian besar kempen musim ini bertindak sebagai pertahanan pusat.

Ini bermakna Klopp berdepan dilema sambil mengharapkan Henderson tidak perlu diketepikan terutama muka baru, Thiago Alcantara, juga tidak diketengahkan sejak menerima terjahan liar daripada Richarlison dalam aksi 'derby Merseyside' hujung bulan lalu.

Trent Alexander-Arnold tersisih sebulan selepas mengalami kecederaan betis ketika menentang Manchester City sebelum perlawanan antarabangsa manakala Mohamed Salah positif COVID-19 ketika melaporkan diri bersama Mesir.

Penggempur itu, bagaimanapun, tidak menunjukkan sebarang gejala.


England menyambut kunjungan Iceland dalam sebagai aksi pelengkap peringkat kumpulan UNL dengan Raheem Sterling akan direhatkan.

Penyerang Manchester City itu terlepas berdepan Belgium ekoran masalah betis dan belum sedia dipertaruhkan untuk perlawanan pertengahan minggu ini, namun Southgate mencadangkan Sterling akan cergas untuk membarisi pasukan bimbingan Pep Guardiola menentang Tottenham, Ahad ini.

"Raheem terlepas sesi latihan kelmarin kerana menghadapi masalah kecil dengan betisnya," jelasnya.

"Dia berlatih semalam, dia tidak kelihatan selesa jadi dia tidak akan diturunkan untuk perlawanan Rabu ini (awal pagi Khamis) tetapi saya membayangkan dia sudah boleh beraksi pada hujung minggu ini."