Frank de Boer mendedahkan telah mengucapkan 'kata-kata yang tidak sepatutnya' apabila melihat Virgil van Dijk mengalami kecederaan serius ketika beraksi bersama Liverpool sementara tetap tenang dengan situasi Donny van de Beek di Manchester United.

Van Dijk berkemungkinan akan tersisih sepanjang musim ini akibat masalah lutut susulan pertembungan 'derby Merseyside' bulan lalu.

Pertahanan tengah berusia 29 tahun itu menerima terjahan keras daripada penjaga gol Everton, Jordan Pickford, yang terlepas daripada mengutip kad merah.

Sudah tentu, ketiadaan Van Dijk bukan hanya memberi kesan kepada The Reds, malah buat Belanda yang mungkin tidak dapat mempertaruhkannya dalam Kejohanan Euro yang ditangguhkan tahun depan.

"Saya melihatnya secara langsung. Saya terkejut. Saya mengucapkan kata-kata yang tidak elok," kata De Boer menjelang perlawanan persahabatan menentang Sepanyol, awal pagi esok.

"Ia sangat mengejutkan kerana dia adalah tunjang utama, kapten kami dan dia sangat penting dalam skuad ini. Kami akan merindukannya."

Begitupun, De Boer tidak begitu khuatir dengan kedudukan Van de Beek di United.


Pemain tengah, yang dibeli daripada Ajax dalam pra-musim lalu, sekadar memainkan peranan sebagai pemain gantian buat pasukan asuhan Ole Gunnar Solskjaer itu musim ini apabila hanya membuat empat permulaan kecuali aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hanya diberi kesempatan selama 75 minit untuk membuktikan keupayaannya.

De Boer mengakui bahawa pemain itu mempunyai alasan untuk kecewa tetapi menuntut kesabaran anak buahnya tersebut.

De Boer berkata: "Saya cuba memberinya keyakinan seperti ketika menurunkannya bertemu Itali.

"Saya rasa dia beraksi dengan baik ketika diketengahkan, saya sempat melihatnya beberapa kali di United. Dia beraksi dengan baik tetapi mereka mempunyai pemain tengah yang hebat seperti Bruno Fernandes, Paul Pogba, Fred, Scott McTominay dan Nemanja Matic.

"Ia sukar, tetapi saya yakin dia akan diberi peluang. Saya memahami bahawa dia ingin bermain secara lebih kerap tetapi dalam masa sama, dia perlu menyesuaikan diri ketika berkelana ke liga baru.

"Saya harap dia diberikan peluang. Saya gembira dia berehat dengan baik jadi kami boleh mengerahkan kudratnya di sini."

Selepas rehat antarabangsa, Van de Beek kemungkinan akan menyasarkan kedudukan Pogba dalam pasukan The Red Devils.

Pemain Perancis itu hanya mencipta dua peluang gol musim ini, hanya satu lebih banyak daripada Van de Beek walaupun diberi minit permainan yang lebih banyak.

Pogba juga belum mencetak sebarang gol sementara Van de Beek sudah menemui penyudah pertamanya ketika menentang Crystal Palace.