CRYSTAL PALACE 1 CHELSEA 4

Thomas Tuchel memuji langkah yang diambil oleh Kai Havertz dan meminta pemain tengah Chelsea itu agar terus menunjukkan kualitinya selepas memainkan peranan penting dalam kemenangan 4-1 di Crystal Palace, awal pagi tadi.


Havertz, yang bergelut sejak perpindahannya daripada Bayer Leverkusen, membuka tirai jaringan di Selhurst Park di mana Chelsea kembali melonjak ke tangga empat teratas.

Dia mencipta gol kedua buat Christian Pulisic untuk mengukuhkan kedudukan Chelsea dalam tempoh 10 minit, manakala tandukan Kurt Zouma dan sekali lagi sentuhan pemusnah Pulisic memberikan The Blues kemenangan yang selesa di sebalik gol sagu hati tuan rumah menerusi Christian Benteke.

Ia jaringan pertama Havertz dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Oktober lalu sekali gus buat kali pertama meledak dua gol dan menghasilkan satu bantuan jaringan dalam sebuah perlawanan.

Chelsea akan menghadapi aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan Porto dengan bekalan 2-0, Rabu ini, sebelum menentang Manchester City dalam separuh akhir Piala FA, Ahad depan.

Dengan begitu banyak perlawanan penting bakal diharungi sambil kelayakan mereka ke pentas Eropah musim depan belum terjamin, Tuchel mahu terus membuat tuntutan tinggi terhadap Havertz.

Pengurus dari Jerman itu memberitahu sidang media pasca-perlawanan: "Dia mempunyai kualiti, dia perlu membuktikannya. Semudah itu.

"Dia tidak akan pernah menjadi pemimpin emosi, kami tidak menjangkakannya. Kami berharapkan dia mampu mempamerkan kualitinya.



"Sejujurnya, dia perlu menunjukkan bahawa dia mampu beraksi dengan lebih baik. Ada banyak perlawanan getir lain jadi dia akan mendapat kesempatan lain untuk menunjukkan betapa dia mampu melakukan yang lebih baik lagi daripada yang dia lakukan ketika bertemuy Porto. Ia satu langkah dan prestasi yang baik."

Mason Mount juga turut memperagakan persembahan mengagumkan buat gergasi London itu apabila mencipta empat hantaran berharga dan mencipta bantuan untuk gol kelima Zouma musim ini.

Pemain tengah itu melengkapkan 93.8 peratus hantarannya di kawasan lawan selain menghasilkan 15 sepakan lintang

"Mason fokus, memiliki tahap tenaga yang tinggi dan prestasi yang hebat

"Dia adalah DNA kami, kami mempunyai kadar kerja yang tinggi, keamatan tinggi jadi pemain akan keletihan selepas perlawanan. Inilah yang harus ditonjolkan kerana kami Chelsea."