Toure bukan keutamaan West Ham -- Pellegrini

Oleh Penulis Jemputan 14 Disember 2018 264
 Toure bukan keutamaan West Ham -- Pellegrini
Yaya Toure bukan keutamaan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), West Ham, dakwa Manuel Pellegrini.

Toure dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab EPL musim hujung lalu tetapi memilih untuk kembali ke kelab gergasi Greece, Olympiacos.

Bagaimanapun, tempoh kedua pemain tengah itu di Athens berakhir Selasa lalu apabila Olympiacos bersetuju untuk menamatkan kontraknya selepas Toure hanya membuat lima penampilan bersama kelab itu.

Sungguhpun Pellegrini mengiktiraf keupayaan bekas bintang Manchester City berkenaan -- yang dikendalikan pengurus berbangsa Chile itu semasa mengemudi skuad yang berpangkalan di Stadium Etihad itu -- pada permulaan kempen musim ini, dia bagaimanapun percaya khidmat pemain itu bukanlah menjadi keutamaan kelab. 

"Saya ada berunding dengan Yaya pada permulaan musim ini," kata Pellegrini ketika ditanya tentang sebarang kemungkinan untuk menandatangani bekas pemain Barcelona itu.

"Yaya adalah seorang pemain yang hebat, pemain utama yang boleh memikul apa jua peranan.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku kepadanya di Greece.

"Namun, buat masa ini kami hanya memikirkan tentang perlawanan seterusnya yang akan kami hadapi. 

"Saya tidak mahu bercakap tentang hal perpindahan dan pemain yang kami perlu pancing sehinggalah hujung bulan ini.

"Pada masa ini, saya tidak dapat menjawab soalan anda tetapi ia tidak akan menjadi keutamaan memandangkan kami sudah ada pemain lain di posisi itu," jelasnya.

Sekiranya Toure tiba, dia akan menyusuli jejak seorang lagi bekas pemain City, Samir Nasri, yang sedang berlatih dengan kelab London itu. 

"Nasri masih berlatih dengan kami sepanjang bulan ini," tambah Pellegrini.

"Sama seperti yang saya katakan mengenai Yaya, kami hanya memikirkan tentang perlawanan seterusnya dan bukannya perubahan yang akan kami lakukan bulan depan. 

"Nasri berlatih dengan kami dengan baik dan kami akan membuat keputusan pada masa yang tepat."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen