Tiada tindakan yang akan diambil oleh FA England berhubung insiden di dalam terowong Old Trafford dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) di antara Manchester City dan Manchester United.

Pemain dan kakitangan kedua-kedua kelab dilaporkan bertelagah dalam pertemuan 'derby' itu yang dimenangi City 2-1, awal bulan ini.

Pengadil, Michael Oliver, terlepas insiden itu dan tidak memfailkan laporan sehingga mendorong FA England untuk menyiasat pertikaian itu yang didakwa bermula selepas pengurus United, Jose Mourinho, menghampiri bilik persalinan pelawat untuk mengadu mengenai bunyi muzik yang dimainkan terlalu kuat.

"Setelah mengkaji semula bukti yang diberikan oleh kelab-kelab dan saksi bebas, FA England tidak akan mengambil tindakan formal," kata satu kenyataan FA England yang dikeluarkan semalam.

Kedua-dua kelab telah diminta untuk meningkatkan pemantauan dan diberi masa tambahan untuk memberi jawapan kepada pihak berkuasa.

Dalam perkembangan berasingan, Mourinho terlepas daripada sebarang hukuman, namun diberi amaran mengenai tingkah lakunya pada masa akan datang setelah diminta untuk menerangkan komen provokasi yang dibuatnya kepada media menjelang aksi 'derby' itu.

Pengurus Portugis itu menuduh pendekatan City dengan mengatakan: "Sedikit angin dan mereka akan tumbang."

Kemenangan itu -- City menang menerusi gol David Silva dan Nicolas Otamendi untuk melebarkan penguasaan di tangga teratas dengan 11 mata -- mendorong Mourinho untuk mengulas: "Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan adalah soal perbezaan, perbezaan dalam tingkah laku, perbezaan dalam pendidikan.

"Tiada apa-apa lagi, itu sahaja yang akan saya katakan."

Sebagai tindak balas terhadap aduan Mourinho itu, Pep Guardiola menegaskan pemainnya tidak bercadang untuk menyakiti hati jiran mereka itu susulan kemenangan tersebut.

"Matlamat kami bukanlah untuk menyindir United. Kami berhasrat untuk meraikan kejayaan di dalam bilik persalinan kerana kami gembira," katanya.

"Jika orang tidak faham, maka saya minta maaf. Kami sangat gembira, kami memenangi 'derby' dan mahu meraikannya di bilik persalinan.

"Sekiranya kami menyinggung perasaan Manchester United -- bukan hanya seorang pemain, bukan Jose, bukan barisan pemain sahaja, malah kepada (keseluruhan) Manchester United, saya minta maaf."