Paul Pogba sah terlepas aksi 'derby' Manchester pada hujung minggu ini selepas Manchester United memutuskan untuk tidak merayu terhadap kad merah yang dia diterimanya dalam kemenangan di Arsenal, Sabtu lalu.

Pemain antarabangsa Perancis itu dibuang padang kerana memijak Hector Bellerin pada minit ke-74 dalam kemenangan 3-1 di Stadium Emirates.

Pengurus, Jose Mourinho, mengesahkan Pogba akan bermain dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) menentang CSKA Moscow awal pagi esok tetapi tidak menyatakan akan membuat rayuan untuk penggantungan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Kelab berkenaan hanya mempunyai sehingga jam 1 tengah hari waktu tempatan untuk membuat rayuan terhadap keputusan pengadil, Andre Marriner, itu.

Bagaimanapun, FA England dan Omnisport melaporkan kelab itu menolak untuk berbuat demikian.

Ini bermakna Pogba akan digantung tiga perlawanan EPL: menentang Manchester City, Bournemouth di Old Trafford dan lawatan ke West Brom pada 17 Disember.

Tindakan kad merah itu dianggap keputusan keras selepas Pogba memijak kaki kiri Bellerin dalam usahanya untuk memenangi bola.

Mourinho mengakui selepas perlawanan itu, Pogba berasa sangat kecewa dengan menambah: "Semua orang tahu Paul adalah pemain yang bersih dan tidak berniat jahat sama sekali."

Bekas pemain tengah Juventus itu dilihat menepuk tangan ketika meninggalkan padang, sekaligus mendorong cadangan bahawa FA England akan mengenakan hukuman lebih berat jika tindakan itu dilakukan dengan sengaja ditujukan kepada pengadil.

Bagaimanapun, Marriner dilaporkan tidak memasukkan insiden menepuk tangan itu dalam laporan perlawanan rasminya.