Thiago tidak bermain dengan cara Liverpool -- Hamann

Oleh Ammar Hakim 20 Januari 2021 2326
Thiago tidak bermain dengan cara Liverpool -- Hamann
Thiago Alcantara tidak bermain 'cara Liverpool' dan mereka seharusnya berhati-hati mengenai pengaruh yang dibawa oleh pemain itu, menurut bekas pemain Reds, Dietmar Hamann.

Liverpool mendapatkan khidmat Thiago September lalu daripada gergasi Jerman, Bayern Munich.

Ia dilihat sebagai satu pembelian bernilai buat kelab atas bakat dan kemahiran dipamerkan pemain itu ketika bersama Bayern, dengan ramai yang mencadangkan dia adalah pemain yang dicari-cari skuad kendalian Jurgen Klopp ketika mereka kekurangan pemain tengah yang mampu mengawal tempo permainan pasukan.

Kecederaan mengehadkan dirinya yang sekadar beraksi lima perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak perpindahannya, yang terbaru ketika seri tanpa jaringan dengan Manchester United.

Dalam perlawanan tersebut, Thiago melakukan 122 sentuhan, 96 hantaran dan 83 daripadanya berjaya dilengkapkan -- jauh lebih banyak berbanding semua pemain di atas padang.

Tetapi Hamann tidak yakin Thiago adalah pemain yang diperlukan Liverpool di bahagian tengah, mencadangkan pemain kelahiran Sepanyol itu gemar mengawal permainan dan memperlahankan permainan berbanding The Reds yang menggunakan permainan pantas dalam usaha mendapatkan jaringan.

"Liverpool sebelum ini memiliki barisan tengah yang bekerja keras, mereka tidak memiliki kemahiran tinggi seperti Thiago, tetapi mereka menyalurkan bola awal kepada [Sadio] Mane dan [Mohamed] Salah," kata Hamann.

"Jika anda dapat melakukan hantaran ke bahagian sayap, dan mereka ini sukar untuk dikejar.

"Saya memiliki pandangan terhadap Thiago, di mana semua orang bersemangat tentang dia yang tiba ke Liverpool -- dia kurang beraksi. Turun ketika bertemu Chelsea dan melakukan hantaran paling banyak dalam separuh masa kedua, berdepan pasukan Chelsea yang kekurangan seorang pemain.
 

"Dia turun bertemu Newcastle pada 25 minit terakhir, Newcastle sudah kepenatan, semua bersemangat menyatakan betapa bagusnya dia beraksi.

"Saya boleh katakan dia adalah pemain yang bagus, seorang yang berkemahiran. Tetapi tidak pernah ada waktu di Munich di mana orang berkata, 'Thiago dalam skuad utama'. Jadi, saya sangat berhati-hati ketika Thiago tiba di Liverpool.

"Dan satu lagi, seperti orang lain katakan sebelum ini, dia bermain gaya bola sepak yang berbeza. Dia suka menyimpan bola.

"Liverpool sering kali bermain baik ketika tidak menyimpan bola. Memenanginya dan bermain ke hadapan.

"Thiago tidak memiliki kualiti itu, jadi ia akan menjadi sesuatu yang menarik apabila dia lebih kerap diturunkan dan bagaimana dia mengubah dinamik pasukan."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen