Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mengkritik jadual perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sambil menyifatkannya sebagai mustahil untuk dihadapi pada saat getir sebegini.

Solskjaer menamakan barisan kedua dalam 1-2 kepada Leicester City, awal pagi tadi, selepas dua hari membelasah Aston Villa 3-1 dalam saingan sama.

Tumpuan terarah kepada jadual padat yang perlu diharungi The Red Devils yang diperhebatkan lagi dengan kemaraan ke final Liga Europa.

Begitupun, penangguhan perlawanan liga membabitkan Liverpool berikutan protes peminat di Old Trafford dua minggu lalu nyata memakan diri.

The Red Devils akan berdepan Liverpool Jumaat ini sebelum menghadapi satu lagi aksi liga menentang Fulham, Rabu depan.





Solskjaer mengakui situasi sukar yang timbul selepas penundaan perlawanan itu dan kini menuntut penjadualan semula yang lebih adil.

"Ia tidak boleh berlaku lagi," katanya selepas perlawanan itu.

"Itulah sebabnya mengapa kami terpaksa merombak pasukan kerana keluhan saya tidak pernah didengari.

"Saya ulanginya sekali lagi, jika perlawanan ini diadakan esok, tiada masalah disusuli satu lagi perlawanan pada Sabtu ini.

"Andai ia berselang dua hari, tiada masalah tetapi adalah mustahil untuk pemain mengekalkan tahap tinggi dalam tiga perlawanan dalam waktu yang singkat. Mustahil."

Kemenangan The Foxes itu membuka laluan kepada Manchester City mengesahkan kejuaraan EPL musim ini.

Justeru, pengendali kelahiran Norway itu mengakui juara 20 kali berkenaan tidak boleh lokek berbelanja demi merapatkan jurang dengan seteru kota tersebut.

"Kalau kami mahu menyaingi mereka maka kami perlu memperkasakan pasukan ini.

"Tahniah buat mereka. Mereka telah melalui satu musim yang menakjubkan.

"Saya bangga dengan anak buah saya memandangkan sejak 10 hari lalu kami berjaya menangguhkan hasrat mereka yang dilabel pasukan terbaik di Eropah.

"Kami perlu ke tahap seterusnya jadi kami perlukan beberapa pemain handalan lagi untuk mengukuhkan skuad ini."