Taktikal Guardiola mula tampak hasil

Oleh Penulis Jemputan 1 Oktober 2017 1885
Taktikal Guardiola mula tampak hasil
CHELSEA 0 MANCHESTER CITY 1

Pep Guardiola memuji persembahan Manchester City apabila pendekatan yang diterapkannya sejak musim lalu sudah membuahkan hasil selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Chelsea, awal pagi tadi.


Jaringan tunggal Kevin De Bruyne pada minit ke-67 memastikan tiga mata penuh untuk City kekal di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) dan berkongsi mata dengan seteru, Manchester United.

Tetapi keputusan perlawanan merupakan penekanan yang diketengahkan oleh Guardiola selepas berjaya menundukkan juara bertahan itu di Stamford Bridge.

De Bruyne merupakan pemain terbaik perlawanan tetapi pengurusnya memberikan pujian secara menyeluruh kepada pasukan, bermula daripada gandingan pertahanan John Stones dan Nicolas Otamendi kepada jentera serangan yang dibarisi oleh Raheem Sterling, Gabriel Jesus dan Leroy Sane.

"Kami sangat gembira dengan kemenangan ini kerana kami datang untuk mendapatkan keputusan, terutama sekali dengan gaya permainan kami," kata Guardiola.

"Chelsea memiliki kekuatan fizikal dan pantas. Mereka juga mampu melakukan sesuatu dalam perlawanan ini.

"Kami berani melakukan gerakan, mengawal bola, serta memberikan tekanan kepada lawan.

"Stones dan Otamendi memainkan peranan yang penting mengawal gerakan Alvaro Morata, Willian, dan Eden Hazard. Mereka mampu menghukum kami.

"Sane, Jesus dan Sterling cemerlang ketika menyerang. Mereka berjaya memberikan kesukaran kepada Chelsea.

"Kami akan terus berusaha untuk memastikan momentum ini berterusan dalam perlawanan akan datang."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen