Bekas pemain tengah Liverpool, Paul Ince membayangkan bekas kelabnya itu akan berdepan cabaran lebih sukar mengekalkan dominasi di Liga Perdana Inggeris (EPL) pada masa akan datang biarpun kejuaraan musim ini kekal dalam jangkauan The Reds.

Meskipun meminati pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan mahu dia terus berjaya dengan kelab itu, Ince membayangkan saingan lebih getir menanti juara Eropah enam kali itu.

“Saya sukakan Klopp, dia bersama Pep Guardiola adalah dua pengurus terbaik ketika ini dan dia mempunyai pendekatan berbeza dengan pengendali Manchester City itu.

“Tetapi kita dapat lihat beberapa pasukan akan bertambah kuat selepas ini dengan Chelsea sudah mula menguatkan skuad, Manchester United pasti akan lebih ampuh dan Jose Mourinho pasti akan mendapatkan pemain baru menguatkan Tottenham.

“Jadi saya meramalkan Liverpool akan berdepan saingan lebih kuat bermula musim depan,” kata Ince ketika menjadi tetamu siaran secara langsung aksi Everton-Liverpool bersama Gary Stevens yang disiarkan di saluran Astro Supersport pada pagi Isnin.

Dalam aksi Everton-Liverpool di Goodison Park, kedua-dua pasukan sekadar terikat tanpa jaringan dengan The Reds kini kekal di puncal liga dengan 83 mata, mereka memerlukan hanya lima mata lagi untuk mengesahkan kejuaraan.



Ince yang turut pernah beraksi bersama Manchester United dan Inter Milan pada era 90an menyifatkan Sir Alex Ferguson adalah pengurus terbaik yang pernah mengendalikannya dan sukar menyamai pencapaiannya.

“Pengurus pada masa kini tidak kekal lama dengan sesebuah kelab mungkin kerana kini dengan adanya media sosial ia berbeza dengan zaman sebelum ini.

“Ferguson berjaya kerana dia lama di United serta kerap merancang usaha menguatkan pasukan dari satu musim ke satu musim, serta turut mendedahkan pemain muda seperti David Beckham dan Ryan Giggs ketika itu.

“ Klopp juga hanya berjaya selepas empat tahun di Liverpool dan perlu kekal lama untuk mereka kekal ampuh.

“ Tetapi seperti saya katakan, mungkin sukar buat Klopp kekal lama,” kata Ince.

Namun Stevens pula mempunyai mempunyai pandangan berbeza terhadap Klopp berbanding Ince.

Bekas pertahanan England di Piala Dunia 1986 Mexico ini berasa Klopp mempunyai potensi menyamai kejayaan Ferguson.

“Saya tidak fikir Klopp akan berhijrah dari Liverpool dalam masa terdekat selepas kejayaan yang diraih bersama pasukan itu.

“Klopp pasti mahu mencuba untuk melakukan sesuatu di Liverpool dan dia kini juga tampak mula menengahkan bakat-bakat baru dari akademi.

“Walaupun Klopp sebelum ini merendah diri dengan mengakui kejayaan Ferguson sukar diulangi, di dalam hatinya dia akan terus merancang menambah keampuhan Liverpool.

“Saya percaya Klopp sedar era kegemilangan Liverpool baru saja bermula ketika ini,” kata Stevens.

Ince turut berasa kemungkinan beberapa pemain Liverpool akan cuba dipancing kelab-kelab besar Eropah lain.

“Jika mendapat tawaran lumayan, mungkin sukar buat sesetengah pemain tidak menerimanya.

“Pemain seperi Mohamed Salah dan Sadio Mane mungkin akan berfikir, mereka sudah muncul juara Eropah dan selepas ini EPL, jadi apa lagi yang mahu mereka raih dengan Liverpool,” kata Ince.

Bagaimanapun Stevens pula berpandangan sebaliknya dalam hal ini.

“Bagi saya, pemain harus berfikir yang mereka kini sudah berada di pasukan yang luar biasa.

“Untuk menghalang pemain utama berhijrah, mungkin Liverpool perlu menang satu lagi kejuaraam Eropah arau EPL,”kata Stevens.