Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menyifatkan Raheem Sterling kini berada di prestasi terbaik dan bakal meneruskan kecemerlangannya menjelang aksi menentang Arsenal, esok.

Pemain sayap England itu kini menduduki tangga teratas senarai penjaring terbanyak buat City selepas menjaringkan gol ke-10 peribadi ketika membantu The Citizens membenam cabaran Napoli 4-2 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Rabu lalu.

Ogos lalu, spekulasi bertiup kencang Sterling bakal menghadapi masalah apabila City dikatakan cuba memancing bintang Arsenal, Alexis Sanchez, namun perpindahan itu gagal disempurnakan sebelum tamat jendela perpindahan.

"Jendela perpindahan kini telah ditutup dan saya tidak mahu bercakap tentang perkara itu. Saya perlu menghormati Arsenal dan pemain saya sendiri.

"Alexis masih lagi pemain Gunners. Kami harus tahu bagaimana untuk menyekat pergerakannya kerana bakatnya merupakan pertaruhan utama buat Arsenal," kata Guardiola.

"Bagi saya, Sterling sedang menikmati keseronokan menjaringkan gol dan dia tidak gentar kepada sesiapa. Dia telah sedar betapa nikmatnya dapat melakukan jaringan, membuatkannya kini lebih fokus.

"Mikel Arteta (pembantu jurulatih) menghabiskan masa bersamanya sewaktu sesi latihan dan Sterling sering kekal untuk meningkatkan kualiti permainannya.

"Semua penyerang dan pemain sayap telah menjaringkan gol dan ia bukan sekadar melibatkan Gabriel Jesus dan Sergio Aguero. Ia penting buat pasukan," ujarnya.