Tottenham Hotspur tidak dapat menyaingi Manchester United dan Manchester City di dalam jendela perpindahan.

Perkara itu diakui oleh pengendali Spurs, Mauricio Pochettino, selepas menyaksikan City yang kini menerajui liga berbelanja GBP220 juta (RM1.2 bilion) pada musim panas lalu untuk melakukan rombakan di dalam pasukan.

United yang berada di tangga kedua liga dengan perbezaan jaringan, melaburkan hampir GBP150 juta (RM839 juta) bagi mendapatkan khidmat Romelu Lukaku, Nemanja Matic dan Victor Lindelof.

Perbezaan ketara disaksikan pada skuad kendalian Pochettino apabila hanya berbelanja GBP90 juta (RM500 juta) dan masih mampu meraih keuntungan hasil penjualan Kyle Walker ke Citizens dengan nilai perpindahan GBP50 juta (RM279 juta).

Spurs juga kini sedang dalam proses menyiapkan stadium baru bagi menggantikan White Hart Lane, satu pelaburan yang dijangka siap sebelum awal musim depan.

Bagi Pochettino, terdapat perbezaan ketara terhadap kebolehan dua kelab Manchester itu untuk berbelanja.

"Perbezaan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini adalah wujudnya pasukan seperti City dan United, yang mampu mendapatkan sesiapa yang mereka mahu, tidak kira masa.

"Terdapat juga pasukan yang besar, seperti kami, yang mendapatkan pemain apabila kami mampu dan siapa yang kami mampu. Ada perbezaan besar di situ," kata Pochettino.