BURNLEY 0 TOTTENHAM 2

Mauricio Pochettino melaungkan amaran Tottenham Hotspur akan terus berjuang untuk mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, sehingga penghujung musim ini.


Dua gol dalam separuh masa kedua daripada Eric Dier dan Son Heung-min menyaksikan Spurs meraih kemenangan 2-0 ke atas Burnley untuk merapatkan jurang kepada tujuh mata dengan Chelsea, yang tewas mengejut kepada Crystal Palace 2-1.

Tottenham perlu bersabar sebelum menemui jaringan pembukaan pada minit ke-66 di Turf Moor dan Pochettino memuji kepentingan kemenangan itu.

"Saya sangat berbangga kerana kami berjaya meraih tiga mata penting dalam perlawanan yang sukar," katanya.

"Ini merupakan kemenangan yang sangat baik buat kami -- kami perlu terus menang ketika Chelsea tewas. Kami perlu terus berjuang untuk merebut takhta liga.

Kemenangan Spurs dicemari kecederaan yang dialami oleh Victor Wanyama dan Harry Winks yang terpaksa dikeluarkan sebelum tamat separuh masa pertama.

Pochettino menyatakan masa diperlukan lagi untuk menilai kecederaan yang menimpa Winks. Bagaimanapun, proses pemulihan Harry Kane sedang berjalan dengan baik.

"Kami masih menantikan keputusan mengenai kecederaan yang dialami oleh Winks tetapi saya berharap Wanyama dapat diturunkan dalam perlawanan akan datang.

"Harry Kane akan pulih tidak lama lagi, hanya beberapa minggu lagi sebelum dia dapat diturunkan."