Gareth Southgate menegaskan beliau tidak bercadang untuk menerima sebarang tawaran untuk mengendalikan pasukan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan meninggalkan
skuad kebangsaan England.


Pengurus berusia 48 tahun itu menikmati tahun 2018 yang penuh bermakna, memimpin The Three Lions melangkah ke separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1990 dan mara ke saingan akhir Liga Negara-Negara UEFA.

Usaha Southgate menyaksikan beliau sebagai salah seorang pengganti Jose Mourinho di Manchester United, dengan Ole Gunnar Solskjaer hanya memimpin The Red Devils sebagai pengendali sementara.

Bagaimanapun, bekas pengurus Middlesbrough itu yang menandatangani kontrak baru selama empat tahun bersama England, menjelaskan tiada sebab untuknya meninggalkan skuad kebangsaan.

"Saya berasakan bukan masannya lagi untuk saya meninggalkan England," kata Southgate.

"Kami menikmati tahun terbaik buat kali pertama sejak 28 tahun yang lalu, kami beraksi dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia dan saya baru sahaja menandaatangani kontrak baru tiga bulan lalu.

"Saya sangat berbangga kerana memimpin England dan berpeluang untuk membawa pasukan ke saingan Euro selepas ini."