Solskjaer: United boleh dibina melalui Pogba

Oleh Penulis Jemputan 29 Disember 2018 2698
Solskjaer: United boleh dibina melalui Pogba
Ole Gunnar Solskjaer tidak menolak Paul Pogba adalah pemain Manchester United yang mampu memberikan inspirasi dalam memperkukuhkan pasukan.

Prestasi Pogba ketika di bawah kendalian Jose Mourinho tidak konsisten sehingga hubungan dingin di antara kedua-duanya dilihat menjadi salah satu faktor pemecatan bekas pengurus Chelsea itu.

Mourinho digantikan oleh Solskjaer sehingga penghujung musim ini dan kehadirannya mencetuskan kemenangan buat United ke atas Cardiff City dan Huddersfield Town, yang menyaksikan Pogba menjaringkan dua gol Rabu lalu.

Dilihat bangkit selepas perubahan pengurusan, United berharap Pogba mampu menghasilkan persembahan hebat seperti ketika membantu Perancis menjulang Piala Dunia tahun ini.

Ditanya sama ada United mampu dibina menerusi Pogba, Solskjaer memberitahu ketika sidang media menjelang pertemuan dengan Bournemouth: "Saya rasa Pogba adalah pemain hebat. Salah seorang pemain terbaik di bahagian serangan.

"Dia seorang pemain yang kuat, mampu mendapatkan tandukan dan halangan. Dia sama seperti pemain lain. Disiplin menjadi kunci utama dan anda pasti akan penat di penghujung setiap perlawanan.

"Pogba tampil dengan hebat. Dia adalah individu yang mampu membantu dalam memperkukuhkan pasukan tetapi kami juga mempunyai ramai pemain berkualiti."

Pemain muda, James Garner dan Angel Gomes, turut tersenarai dalam skuad ketika kunjungan ke Cardiff dan Gomes masuk selaku pemain gantian sewaktu menentang Huddersfield.

Solskjaer menegaskan dia akan terus menggunakan khidmat pemain muda apabila dia mempunyai peluang.

"Seperti apa yang Sir Matt Busby pernah katakan, 'jika mereka cukup bagus, itu bermakna mereka sudah mencapai usia matang'. Kami dibina berdasarkan tradisi itu. Kami memerlukan pemain muda," tambah Solskjaer.

"Ia penting buat pemain dalam akademi. Saya bersedia untuk melihat perkembangan pemain muda. Kami mempunyai dua atau tiga pemain muda dalam skuad B-18 yang menunggu masa untuk memecah masuk skuad utama.

"Menerusi beberapa kecederaan atau isu kepenatan, mereka mungkin akan turut terlibat dalam pasukan."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen