Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mengesahkan minatnya terhadap Erling Haaland selepas dikaitkan dengan penyerang Salzburg itu.

United dipercayai mendahului perlumbaan untuk mendapatkan penggempur itu berdasarkan hubungan baik Solskjaer dengan penyerang itu sewaktu mengendalikan Molde.

Tatkala The Red Devils diketahui sedang cuba memperbaiki barisan depan, bapa Haaland, Alf-Inge, dilaporkan melawat pusat latihan United bulan lalu.

Kelab Bundesliga, Borussia Dortmund dan RB Leipzig, turut mengadakan perbincangan dengan Haaland minggu lalu tetapi United dijangka memberikan tawaran bulan depan.

"Dia pemain yang saya suka," ujar Solskjaer.

"Kami sentiasa mencari pemain yang bagus dan Haaland telah meningkat dengan baik. Dia perlu meningkatkan perkembangannya untuk membuat keputusan mengenai haluannya.

"Saya tidak banyak bercakap dengannya tetapi sebagai satu pasukan, United sentiasa mencari pemain yang boleh melengkapkan skuad.

"Lihat nanti apa pengakhirannya."

Haaland, kini dilihat sebagai salah satu prospek terbesar Eropah, menjaringkan lapan gol dalam enam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah dan turut mencipta 16 gol dalam 14 aksi Bundesliga.

Juventus, Real Madrid dan AC Milan merupakan antara kelab besar lain yang turut memantau pemain berusia 19 tahun itu.

Solskjaer percaya Haaland pastinya mementingkan perkembangannya apabila mahu membuat keputusan mengenai masa depannya.

"Itu perkara terpenting buat semua pemain. Anda perlu sedar di mana tempat anda," tambahnya.